:
SEJARAH PENUBUHAN

SEJARAH PENUBUHAN


Darul Hadis ialah pusat pengajian ilmu Hadis di bawah naungan Yayasan Paksi. Darul Hadis diilhamkan oleh al-marhum Ustaz Suhaimi bin Haji Ahmad bagi meneruskan dan memantapkan kelas pengajian hadis mingguan yang sedia ada.

Hasrat beliau adalah untuk mengajak seluruh masyarakat Islam bersama membangunkan institusi pengajian hadis yang julung kali diadakan di tanah air. Kelas pengajian hadis secara mingguan telah dimulakan pada 10 Oktober 1993 pada hari Jumaat di Pusat Tuisyen Specialist Bangunan Serbaneka, Jalan Sultan Badlishah, Alor Setar, Kedah Darul Aman.


Tenaga pengajar yang awal ialah Dato' Mursyid Diraja Ahmad Baderuddin bin Haji Ahmad (Mantan Sohibus Samahah Mufti Negeri Kedah) dan Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam (Mudir Pasentran Yayasan Islam Nurul Hidayah (Yasin) di Banjar baru dan Pasentren Yasin di Muara Teweh, Kalimantan, Indonesia).


Atas hajat beliau dan doa alim ulamak serta sokongan masyarakat Islam yang prihatin, maka diwujudkan Pusat Pengajian Darul Hadis bagi melahirkan lebih ramai ilmuan hadis serta muhaddis di zaman ini. Sebidang tanah seluas 6 relong di atas lot PT 4659, HS (M) 8537, Kampung Tok Keling Mukim Derga Alor Setar yang telah diwakafkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Kedah (Fail : MAIK/WKF/KS/L/101). Majlis Agama Islam Kedah sebagai Nazir Amanah.

 

MAJLIS PERASMIAN TAPAK


Pada 8 September 2006 Majlis Pelancaran Tapak Kompleks Pengajian Darul Hadis oleh Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki, Syeikhul Maahad Zein Al-Makki. Kemudian pada 15 Oktober 2010 pula pelancaran pengajian Darul Hadis oleh Al-Allamah Muhaddis Syeikh Muhammad Ibrahim Abdul Ba'eis Al-Hussaini Al-Kattani (Muhaddis dari Iskandariah Mesir).


Pada 30 Julai 2011, majlis pecah tanah disempurnakan oleh Tuan Guru Dato' Dr Harun Din. Selepas itu pada 24 April 2012 Al-Allamah Habib Omar ben Hafizh Ulamak dari Yaman keturunan Rasulullah SAW telah menyempurnakan majlis mendirikan bangunan masjid dengan menuang simen di tapak masjid.


Akhirnya cita-cita untuk mewujudkan Pusat Pengajian Darul Hadis dapat direalisasikan dengan izin Allah S.W.T. Dan kini ramai di kalangan alim ulamak yang hadir ke sini bagi memberi tausyiah dan nasihat kepada para pelajar.